Post Top Ad

21.1.26

Tragedi: 'Hiroshima' Sungai Buloh


TANGGAL 7 Mei 1991 , tepat jam 3.45 petang, penduduk di kawasan Sungai Buloh, Selangor dikejutkan dengan satu letupan yang sangat kuat. Apa yang pastinya, hari itu menjadi antara tarikh yang diingati oleh penduduk Malaysia.

Awan mendung dan kehitaman di langit rupa-rupanya membawa sejuta maksud kepada penduduk di Sungai Buloh. Sebuah kilang mercun yang dikenali sebagai Bright Sparklers Sdn. Bhd. yang beroperasi di situ terbakar dan meletup secara tiba-tiba. Berdasarkan laporan polis, letupan kuat daripada kilang mercun itu telah mengorbankan hampir 26 nyawa di samping lebih daripada 83 orang lagi cedera parah.

Disebabkan kemusnahan yang amat dahsyat ini, tragedi ini turut digelar sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’. Ini kerana ledakan yang dihasilkan daripada letupan itu diibaratkan seperti perang nuklear di Hiroshima, Jepun. Ketika itu bom atom dijatuhkan oleh tentera Amerika di negara itu sewaktu Perang Dunia Kedua.

Letupan yang dihasilkan daripada kebakaran itu telah mengakibatkan kemusnahan yang amat dahsyat. Gegaran yang dirasai sehingga hampir tujuh kilometer dari lokasi kilang telah menyebabkan harta benda di kawasan berhampiran musnah. Kebanyakan rumah-rumah di kawasan Selayang dan Seri Manjalara rosak teruk. Hampir seluruh cermin tingkap rumah pecah dan bangunan-bangunan juga retak.

Letupan ini dikatakan berpunca daripada 200 tan belerang yang tiba-tiba terbakar sehinggakan percikan bunga api dan serpihan-serpihan belerang bertebaran ke udara. Cuba bayangkan jika sebutir mercun pun mampu memutuskan jari, bagaimana pula kemusnahan yang boleh berlaku daripada beratus-ratus kilogram belerang?

Letupan pertama itu rupa-rupanya hanyalah petanda awal kejadian. Selang sepuluh minit kemudian, letupan kedua menyusul. Tanpa di duga, ia masih belum berakhir apabila letupan ketiga dan yang paling kuat berlaku pada jam 4 petang dirasai sehingga jarak empat kilometer.

Kemudian, lebih daripada 20 letupan berterusan sehingga ruang udara dipenuhi dengan kepulan asap dan ia boleh dilihat pada jarak lapan kilometer. Bukan sahaja kemalangan jiwa, malah beberapa kilang termasuk kilang makanan haiwan, kilang papan dan kilang pewarna makanan yang turut berada berdekatan dengan lokasi kejadian turut terbakar. Jika pada jarak tujuh kilometer malapetaka ini mampu memecahkan cermin tingkap, bagaimana pula keadaan mereka yang berada berhampiran dengan tempat kejadian?       

Tidak dapat digambarkan situasi pada ketika itu. Keadaan semakin kelam kabut. Semua orang cuba menyelamatkan diri sehingga ada yang meninggal akibat kemalangan jalan raya. Berpuluh-puluh kenderaan dan motosikal musnah,hangus terbakar di atas jalan. Kebanyakan daripada mereka yang sedang memandu tidak sempat untuk menyelamatkan diri dan mati di tempat kejadian.

Ada juga yang cuba untuk  menyelamatkan diri bagi mengelak serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan. Namun bahang api yang semakin menggila menyukarkan mereka untuk melarikan diri daripada lokasi kilang.

Ketika itu, kelihatan berpuluh-puluh mangsa berlumuran darah merah di merata-rata tempat. Selepas letupan semakin perlahan dan berkurangan, raungan mereka yang kesakitan semakin jelas didengari. Ada juga yang menangis mencari kaum keluarga yang hilang kerana bimbang menjadi mangsa tragedi.

Dalam sekelip mata sahaja, seluruh kawasan di sekitar kilang mercun musnah. Ekoran kejadian itu, Sungai Buloh di Selangor mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa. Hampir semua akhbar melaporkan tragedi yang menyayat hati ini.

Pihak keselamatan terutamanya jentera bomba berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan mangsa. Hampir lapan jentera bomba diperlukan untuk memadamkan kebakaran. Walau bagaimanapun, pelbagai masalah timbul menyukarkan tugas bomba untuk menyelamatkan mangsa dan usaha untuk memadam api.

Persoalannya, apakah masalah yang dihadapi oleh pihak penyelamat? Dan, apakah punca sebenar letupan ini boleh berlaku? Ekoran kejadian ini, satu persatu kisah tersembunyi berjaya dibongkar oleh pihak berkuasa. Untuk mengetahui kisah lanjut apa sebenarnya yang terjadi dan bagaimana keadaan Sungai Buloh selepas 21 tahun tragedi ini berlaku, ikuti siri kedua Tragedi Sungai Buloh pada edisi akan datang.


January 21, 2026 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad