Post Top Ad

22.1.26

PELIK: Manusia dan buaya hidup 'berjiran' dengan aman


Di sebuah perkampungan yang terletak di wilayah utara negara Ghana, terdapat sebuah tasik besar yang dihuni lebih daripada 100 ekor buaya. Anehnya, penduduk di desa ini mampu hidup bersama buaya dalam satu komuniti yang aman damai dan harmonis tanpa sebarang masalah. Malah, tidak pernah sekalipun penduduk desa berkenaan dilaporkan tercedera akibat serangan reptilia ganas itu.


Ghana, sebuah negara yang terletak di bahagian Afrika Barat, adalah sebuah lokasi yang menarik dalam banyak aspek. Suatu ketika dahulu, negara ini sangat terkenal dengan sumber kekayaan emas. Namun, bukan perkara itu yang hendak diceritakan di sini, tetapi mengenai sesuatu yang lebih istimewa iaitu tentang kehidupan sebuah perkampungan yang terletak di utara negara tersebut iaitu Paga. Ia adalah sebuah desa di mana manusia dan buaya hidup ‘berjiran’ dalam suasana yang cukup aman dan selesa.

Semacam ada sesuatu hubungan yang khusus di antara kedua-dua belah pihak apabila penduduk kampung dan buaya yang menghuni kolam Bolgatanga masing-masing seperti menunjukkan perasaan saling hormat-menghormati. Orang-orang kampung boleh berenang dengan bersuka ria dan membasuh pakaian dalam kolam tersebut yang mana ia turut menjadi sumber air utama di desa berkenaan. Bukan itu saja, bahkan mereka boleh bergurau senda, bergambar dan berbaring di atas reptilia itu tanpa sebarang perasaan takut dan gusar. Apa yang menghairankan ialah buaya-buaya itu langsung tidak bersikap agresif apabila berhadapan dengan penduduk kampung berkenaan.


Setiap hari, ramai kanak-kanak akan turun ke kolam tersebut untuk menangkap ikan. Mereka tahu kolam Bolgatanga adalah antara sarang buaya yang terbesar di dunia. Namun itu tidak mendatangkan masalah. Sekalipun ada buaya yang datang menghampiri, mereka tidak lari bertempiaran kerana reptilia ini bukan datang untuk menyerang, sebaliknya ia seperti cuba membantu menghalau ikan di dalam air bagi memudahkan tangkapan.


Hubungan harmonis antara manusia dan buaya ini telah membuatkan para pengkaji menjadi buntu untuk menghuraikannya. Malah, kerana keistimewaan itu, Paga telah menjadi antara destinasi pelancongan popular di Ghana.

Setiap tahun, berjuta-juta pelancong dari segenap pelosok dunia akan berkunjung ke sini untuk menyaksikan sendiri keistimewaan hubungan antara manusia dan buaya. Bagaimanapun, pelancong-pelancong yang ingin berdamping dengan buaya perlu ditemani penduduk kampung berkenaan kerana haiwan tersebut akan bersifat jinak sekiranya melihat orang yang dikenali. Sekiranya ia melihat orang-orang yang asing, buaya-buaya ini sebaliknya seakan lebih agresif.


Masyarakat di sini percaya bahawa buaya merupakan jelmaan roh ahli-ahli keluarga penduduk kampung yang telah meninggal dunia. Disebabkan itu, haiwan itu tidak akan membunuh atau menyerang manusia. 


Menurut legenda, salah seekor buaya tertua di dalam kolam berkenaan suatu ketika dahulu pernah menyelamatkan seorang penduduk kampung daripada mati lemas. Sebagai gantinya, penduduk tempatan telah menganggap reptilia ini suci dan mereka perlu melayani haiwan tersebut seperti raja. Hingga saat ini, membunuh dan mencederakan buaya adalah sesuatu yang dilarang keras di perkampungan berkenaan.

Setakat ini, tiada seorang pun tampaknya tahu sejak bila dan bagaimana buaya-buaya itu datang ke kolam tersebut. Tetapi, apa yang mereka pasti ialah haiwan bergigi tajam itu langsung tidak pernah mencederakan mereka, hatta tidak pernah membaham haiwan-haiwan peliharaan lain di kampung berkenaan. Dengan kata lain, buaya-buaya itu tidak pernah menyusahkan atau menimbulkan sebarang kemudaratan kepada penduduk kampung, malah kehadiran buaya di situ sedikit sebanyak telah memajukan lagi desa Paga dari aspek pelancongan.


Salah satu rahsia bagaimana penduduk boleh membina hubungan yang akrab dengan buaya ialah mereka kerap melayani santapan haiwan ini dengan bangkai ayam dan unggas hidup. Ia adalah sebagai satu lambang kasih sayang kepada buaya-buaya berkenaan.


Sekalipun kolam tersebut turut dipenuhi ikan dan kodok, tetapi buaya-buaya di Paga kelihatan lebih berminat dengan ayam dan unggas. Malah, sumber kewangan yang diperoleh dari sektor pelancongan lebih banyak dihabiskan oleh penduduk kampung untuk membeli ayam bagi menghidangkannya kepada buaya-buaya belaan mereka.


Menurut Timbalan Pengarah Zoo Negara Malaysia, Dr. Muhammad Danial Felix, terdapat dua sebab mengapa haiwan-haiwan termasuk buaya akan menjadi agresif. Pertama adalah kerana mereka berasa terancam, dan yang kedua adalah disebabkan ada masalah tertentu seperti kecederaan sehingga memaksa haiwan mencari jalan yang paling mudah untuk mencari sumber makanan.


Jelas Dr. Felix, buaya biasanya hidup dalam komuniti berkumpulan yang mana setiap kumpulan akan diketuai oleh ketua. Justeru, sekiranya kawasan mereka diganggu, barulah ia akan menyerang. Namun, sekiranya mereka tidak berasa terancam, haiwan ini lebih selesa untuk berdiam diri.

Kata Dr. Felix lagi, serangan buaya terhadap manusia adalah sesuatu yang jarang berlaku. Dalam kes di desa Paga, Ghana, ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana di lokasi lain seperti Sarawak misalnya, manusia turut berkongsi sungai yang sama dengan haiwan berkenaan. Tetapi, dalam kes-kes tertentu, ia tetap boleh menyerang, namun situasi tersebut adalah sesuatu yang sangat jarang dilaporkan. 


Selain itu, berkemungkinan juga diet ayam yang berlebihan telah menyebabkan haiwan ini kurang agresif dan tidak menyerang manusia. Bagaimanapun, Dr. Felix menasihatkan jangan pula ada sesiapa yang berani pergi ke sungai mencari buaya untuk berkawan kerana ia adalah sesuatu yang sangat bahaya.


January 22, 2026 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad