Baru setahun melangkah ke bidang seni, kumpulan wanita yang
dikenali sebagai Dolla mungkin boleh berbangga dengan pencapaian mereka apabila
kisah hidup mereka kini diangkat dalam sebuah telefilem tidak lama lagi.
Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel
Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music itu bakal menemui peminat
pada 22 Mei jam 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD. Dolla
Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar
diinspirasikan dari kisah benar kumpulan Dolla iaitu Tabby, Syasya, Sabronzo
dan Angle.
Idea untuk mengangkat kisah hidup Dolla tercetus daripada
pihak Astro bersama Zeel Production yang melihat populariti serta impak
kumpulan yang mula popular dengan lagu Dolla Make You Wanna itu wajar dikongsi
bersama penonton.
Mewakili anggota kumpulan Dolla, Sabronzo tidak menyangka
apabila Astro menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi
sebuah telefilem.
Biarpun bangga dengan peluang diberikan, sebagai sebuah
kumpulan baru kata Sabronzo, peluang itu dilihat terlalu besar untuk mereka.
“Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran
pihak Astro, kami sangat terkejut. Bukan apa jika hendak dibandingkan dengan
kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil.
“Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang
boleh dibanggakan. Jadi, kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima
pengiktirafan sejauh itu, bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya
ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” kata Sabronzo.
![]() |
| Dolla akan muncul dalam telefilem Dolla Watch Me Glow pada 22 Mei pukul 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD |
Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan,
Sabronzo mengakui sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran. Namun dengan
bantuan pengarah serta krew, mereka berjaya menjiwai watak masing-masing.
“Tidak dinafikan
bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pelakon , apatah lagi ini adalah
pengalaman pertama semua anggota Dolla. Nasib baik pengarah dan krew banyak
membantu sewaktu di set, jadi kami berjaya juga menghayati watak masing-masing.
“Bagi saya bahagian paling sukar apabila dipaksa untuk
menangis. Tapi saya amat mengagumi Tabby dan Syasya, biarpun kali pertama
tetapi mereka boleh melakonkan adengan
menangis dengan semula jadi. Nasib baik pengarah boleh bersabar dengan saya
apabila meminta saya mengingati dan mendengarkan lagu sedih supaya boleh
menghayati babak menangis,” kata Sabronzo.
Menurut Sabronzo lagi, kisah di dalam telefilem Dolla Watch
Me Glow hampir 70 peratus tepat dengan kisah hidup anggota kumpulan itu.
Pelbagai kisah suka dan duga bakal dikongsi dengan peminat, malah banyak yang
mungkin tidak diketahui oleh peminat sebelum ini.
Bagaimanapun kata Sabronzo, mereka tidak kisah mendedahkan
perjalanan hidup Dolla dengan peminat kerana beranggapan tiada apa yang perlu
dirahsiakan dari pengikut Dolla.
“Memang hampir 70 peratus kisah yang dipaparkan dalam
telefilem itu ada ke mana mengena dengan kami. Cuma 30 peratus yang ditokok
tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu
menjadi lebih menarik.
“Bagi kami tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada
penonton. Jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar
kami.
“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami
tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi
pertama kami dalam bidang lakonan. Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari,
bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu
lakonan kami belum memuaskan,” kata Sabronzo.
Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, Sabronzo
bagaimanapun mendedahkan Dolla kini mula meminati bidang itu. Malah mereka bersedia
untuk lebih serius dalam bidang lakonan serta tidak akan menghalang anggota
kumpulan Dolla yang lain jika menerima tawaran lakonan secara individu.
Sementara itu Pengarah Kreatif dan Penulis Skrip, Marr
Mohamad pula berkata, dia amat terkejut dengan kemampuan kumpulan itu berlakon
biarpun ke semuanya pertama kali beraksi di hadapan kamera.
Menurut Marr, idea untuk menerbitkan drama itu datang
daripada pihak Asto yang terkejut dengan penerimaan peminat terhadap kumpulan
itu sehingga muncul trending di serata dunia.
Kata Marr, bagi mengorek kisah hidup empat gadis berkenaan,
dia meluangkan masa antara empat hingga ke lima jam semata-mata untuk
menemuramah mereka.
“Astro memberikan sepenuh kebebasan kepada Zeel Production
untuk menghasilkan sebarang bentuk cerita. Tidak kisahlah sama ada kisah rekaan
atau dokumentari asalkan berkisarkan Dolla.
“Mereka tertarik dengan Dolla kerana kumpulan itu
mencetuskan fenomena apabila dikatakan meniru kumpulan dari Korea Selatan,
Black Pink. Tapi setelah bertentang mata dan berbual pelbagai perkara dengan
empat anggota Dolla, saya lebih tertarik untuk mengangkat kisah sebenar mereka.
“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu
mengenai Dolla sebelum ini. Antaranya bagaimana kumpulan itu mendapat tentangan
keluarga kerana ingin bergelar penyanyi, kerana ada antara mereka yang datang
daripada keluarga yang alim. Serta bagaimana anggota Dolla berdepan dengan
kecaman peminat hingga ada yang terpaksa berjumpa dengan kaunselor kerana
tertekan dengan buli siber,” kata Marr.
Tambahnya lagi, apa yang sebenarnya ingin dipaparkan adalah
bagaimana kumpulan itu boleh bermula
serta dari mana mereka mendapat nama Dolla.
“Peminat mungkin tidak tahu mereka juga sebenarnya datang ke
Universal Music sebagai artis solo, tetapi pihak Universal menggabungkan
keempat-empat mereka menjadi sebuah kumpulan. Jadi kita akan tunjukkan
bagaimana mereka ingin mencipta keserasian sedangkan identiti mereka yang
berbeza dan kita juga ingin tekankan dalam telefilem itu yang Dolla bukanlah
Black Pink,” kata Marr lagi.
Bagi pihak Universal Music pula, semestinya peluang
diberikan Astro dan Zeel Production itu tidak seharusnya dilepaskan.
Pengurus Pemasaran dan Promosi Domestik, Universal Music
Malaysia, Anne Mukhtar berkata, peluang diberikan itu dapat membuka mata
generasi baru terhadap anak seni kita.
“Ia satu platform yang baik untuk memperkenalkan Dolla
dengan lebih dekat kepada peminat. Semestinya pihak Universal Music sangat
terharu apabila pihak Astro dan Zeel berminat untuk mengangkat kisah penyanyi
nanungan kami.
“Kami berharap telefilem itu dapat mengangkat dan membuka
mata peminat khususnya generasi madu terhadap anak seni tempatan yang berbakat
dan hebat,” kataya.
Dolla Watch Me Glow mengisahkan Sabrina, gadis yang sedang
menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan di Los
Angeles, California. Juga Tabby, seorang anak tunggal yang dikongkong keluarga.
Manakala Shasha pula
yang sekian lama dibenci ibunya sendiri dan Angel, gadis yang sentiasa ingin
keluar dari zon selesa hidupnya.
Sabrina, Tabby, Angel dan Shasha ingin menggapai cita cita
dan minat mereka dalam bidang muzik. Mereka berempat menjalani uji bakat bersama
syarikat rakaman tersohor, Universal Muzik secara solo.
Bagaimanapun, penyelasar A&R syarikat berkenaan, Kelly
lakonan Azwan Ali membuat keputusan
untuk menyatukan mereka sebagai sebuah kumpulan. Sabronzo yang sejak dari kecil
bercita-cita hendak menjadi rappers mula tidak berpuas hati dan bermula
pelbagai peristiwa bagi membentuk sebuah kumpulan.
Selain Dolla, telefilem itu turut dibarisi Fauziah Nawi,
Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai
lagi.
Jom follow kami di Telegram untuk tidak terlepas berita sensasi dan terkini : https://t.me/cincaimedia


No comments:
Post a Comment